Kaduk, Ayam dan Raja
(Zurinah Hassan)
Cerpen
Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang
berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.
Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya
iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan
tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya
menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa
kerelaannya hatinya. Hal ini menyebabkan kemenangan berpihak kepada
Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian
kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama
Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut
seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.
Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank
melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya
beberapa kali dan hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan
bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang
dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi
automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai
antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
Konflik mula
timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam. Sahabat karibnya
Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan
Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi
penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang
telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim
menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan
penyata hasil jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima
ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang
diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat
RAJA. Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk
membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan
sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak
yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula
berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya telah dieksploitasi oleh
Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga
hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti
nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.
Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda
menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh
untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai
cabaran.
Persoalan
Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh
Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah
melalui sahabatnya, Azam.
Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan.
Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan
bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh
Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja
atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap
golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan
menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung
beban hutang.
Plot
Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap
bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Akhirnya Kaduk, isteri dan
anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.
Perkembangan
Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti
bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik
seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran
ke universiti. Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan
penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya. Hakim
mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut keluarganya
itu. Usaha Hakim berjaya.
Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam
di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi
dua ratus ribu ringgit. Untuk melialisasikan hasratnya itu, Hakim memohon
pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah pihak bank pula memerlukan
cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang
Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan.
Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk
membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula.
Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka
rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan. Hakim
berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi
jawapan mereka ialah tiada peruntukan.
Klimaks
Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang
baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek
penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi
hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah
dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam
kepadanya. Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.
Peleraian
Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang
sama seperti datuknya yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.
Teknik Plot
Pemerian
Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu
dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia
memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah
telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.
Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam
Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus
kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”
Imbas kembali
“Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di
mahkamah dengan susah payah.”
Kejutan
Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu
ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke
kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga
anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu itulah aku
membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik
dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.
Watak dan Perwatakan
Hakim
Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh
Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah
melalui sahabatnya, Azam.
Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan.
Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan
bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh
Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
Seorang yang rajin menuntut ilmu. Sebagai contoh
Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Azam.
Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
Seorang yang suka membantu orang lain. Sebagai
contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah
milik datuknya.
Seorang yang rajin menuntut ilmu. Sebagai contoh
walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia
sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah
pengetahuannya.
Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup
mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan
ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.
Kaduk.
Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan.
Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk
bersabung ayam dengan raja.
Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk
sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.
Raja
Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh
raja bersabung ayam dengan Kaduk.
Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan
orang lain. Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam
kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.
Latar
Latar masa
Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung
ayam dengan ayam raja.
Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan
oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam
secara kontrak dengan syarikat RAJA.
Dalam masa setahun. Sebagai contoh Hakim
mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan perternakan ayamnya.
Latar tempat.
Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap
tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek
ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
Kampung. Sebagai contoh penduduk kampung mendakwa
lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.
Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan
pelajaran di universiti yang sama.
Latar masyarakat
Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan.
Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui
pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling.
Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung
mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai
contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan
ayamnya.
Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai
contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa
hayat Kaduk.
Gaya Bahasa
Sinkope
Sebagai contoh: kau, ku
Pengulangan kata
Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan
kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa.
Kata ganda
Sebagai contonya: bangunan-bangunan, sama-sama dan
tanah –tanah.
Bahasa Arab
Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah
Bahasa Inggeris
Sebagai contoh Global Chiken
Simile
Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah
seperti raja merampas tanah datukku dahulu.
Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat
payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.
Nilai
Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan
di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani
menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih menjadi
penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat prihatin
dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk
terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara
untuk berkursus.
Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam sanggup
menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar
milik datuk hakim.
Pengajaran
Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh
orang lain. Sebagai contoh Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang
diambil raja di mahkamah.
Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu
pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank
bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas
projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan
Yang Berhormat.
Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan.
Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan
menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
Kita hendaklah menolong golongan yang memerlukan
bantuan. Sebagai contoh Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi
mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.
Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap
golongan yang lemah. Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang
tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut
keuntungan yang lebih.
No comments:
Post a Comment